![]() |
| Pihak DBKK mendapati terdapat beberapa aspek pelaksanaan acara yang tidak mematuhi sepenuhnya syarat kelulusan, khususnya berkaitan penggunaan air, kebersihan dan keselamatan di kawasan awam. |
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengambil tindakan terhadap penganjur program Songkran Sunset Splash Run selepas didapati gagal mematuhi syarat kelulusan yang ditetapkan, khususnya melibatkan aspek penggunaan air, kebersihan dan keselamatan di kawasan awam.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran acara tersebut meskipun ia merupakan program julung kali diadakan di bandar raya ini.
“DBKK memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan pematuhan terhadap syarat kelulusan acara serta aspek kebersihan bandar raya.
“Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak penganjur selaras dengan undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa.
“Penganjur diarahkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan segera bagi memastikan kawasan terlibat kembali kepada keadaan asal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, program larian seperti itu sememangnya digalakkan kerana mampu menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan, selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Namun, pihak DBKK mendapati terdapat beberapa aspek pelaksanaan acara yang tidak mematuhi sepenuhnya syarat kelulusan, khususnya berkaitan penggunaan air, kebersihan dan keselamatan di kawasan awam.
“DBKK kekal komited menyokong program yang memberi manfaat kepada bandar raya, namun tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan,” jelasnya.
