KOTA KINABALU : Muslimah (wanita) bukan sekadar pelengkap masyarakat, sebaliknya merupakan tonggak utama dalam pembinaan ummah yang sejahtera.
Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Sabah, Datin Seri Panglima Datuk Dr. Nuinda Alias berkata, wanita memainkan peranan penting sebagai ‘arkitek keluarga’ dalam membentuk generasi masa depan yang berteraskan nilai iman dan akhlak, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan keluarga dan masyarakat.
"Sebagai ibu, muslimah mendidik generasi masa depan dengan nilai yang kukuh, manakala dalam masyarakat pula mereka berperanan mewujudkan persekitaran yang harmoni dan penuh empati.
"Dalam menghadapi cabaran globalisasi, Muslimah perlu bijak mengimbangi tuntutan dunia dan akhirat serta mempertahankan jati diri agar terus relevan dan berdaya saing," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Simposium Muslimah Sabah 2026 yang diadakan di sini, pada Isnin.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Toh Puan Faridah Tussin yang turut merasmikan simposium tersebut.
Nuinda menjelaskan penganjuran simposium tersebut bertujuan memperkasa peranan Muslimah sebagai agen perubahan dalam pembangunan ummah selain meningkatkan kefahaman ilmu serta membentuk wanita yang unggul, berdaya tahan dan berakhlak mulia.
Beliau turut menzahirkan harapan agar setiap peserta memperoleh manfaat daripada pengisian program termasuk ceramah dan forum yang mampu memberi inspirasi serta semangat baharu dalam kehidupan.
Simposium bertemakan "Kelibat Anggun Generasi Unggul" itu menghimpunkan lebih 600 peserta terdiri daripada 21 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kakitangan awam pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Program julung kali itu turut menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama antara NGO dan agensi kerajaan dalam usaha memperkasakan pembangunan wanita di Sabah secara berterusan.
Hadir sama, wakil Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) Datin Wahida Mardiana Norsalim; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Zainudin Aman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Norlijah Danin; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Datuk Awang Juri Awang Tahir; Timbalan Pengerusi II PUSPANITA Cawangan Sabah, Datin Siti Yuslaini Mohd Samsuri yang juga Pengerusi Pelaksana Majlis Simposium Muslimah Sabah 2026 serta ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.
