Pengaruh dadah punca lelaki mengamuk kurung isteri dan tiga anak di Tawau

TAWAU: Pengaruh dadah dipercayai menjadi punca seorang lelaki tempatan bertindak mengamuk sebelum mengurung isterinya bersama tiga anak dalam kejadian di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Kalabakan, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.30 malam selepas suspek bertindak agresif di kediamannya.

Katanya, lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah sebelum mengunci isteri dan tiga anaknya di dalam rumah serta mengugut untuk membunuh sesiapa sahaja yang cuba memasuki kediaman berkenaan.

“Suspek turut bertindak membaling sabit ke arah individu yang cuba menenangkan keadaan selain mengeluarkan ugutan bunuh.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau bersama anggota Balai Polis Kalabakan segera digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebaik tiba, pasukan polis mendapati keadaan rumah gelap dan terdapat beberapa senjata berbahaya termasuk parang, sabit serta paip besi di dalam kediaman tersebut.

“Operasi menyelamat mengambil masa kira-kira tujuh jam apabila polis berusaha memujuk suspek yang berada dalam keadaan agresif sebelum menyerbu masuk bagi menyelamatkan mangsa,” katanya.

Jasmin berkata, dalam operasi itu polis turut menggunakan Taser Gun bagi melumpuhkan suspek sebelum berjaya ditahan.

“Semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi keesokan hari.

Beliau berkata, turut dirampas dalam kejadian itu dua bilah sabit, sebilah parang, pemutar skru, besi ‘loading’ serta empat batang paip besi.

“Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 342 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan,” katanya.

Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berdepan situasi keganasan rumah tangga atau individu bertindak di luar kawalan bagi membolehkan tindakan segera diambil.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama