‘Fleet card’ diperkenal, subsidi diesel lebih tersasar di Sabah, Sarawak

Armizan (tengah) ketika ditemui pada Program Kempen Turun Harga @Bataras Papar, hari ini.


PAPAR: Kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan subsidi diesel ke Sabah, Sarawak dan Labuan bagi sektor pengangkutan darat barangan, sebagai langkah membantu mengurangkan kos operasi serta menstabilkan harga barangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan itu akan dimulakan dengan proses pendaftaran yang dibuka pada 4 Mei ini melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Syarikat yang layak perlu membuat permohonan dan selepas diluluskan, mereka akan menggunakan ‘fleet card’ untuk menikmati subsidi diesel pada harga yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengahadiri Program Kempen Turun Harga @Bataras di sini, hari ini.

Menurut beliau, penggunaan fleet card itu membolehkan syarikat pengangkutan membeli diesel bersubsidi secara terus di stesen minyak mengikut kuota yang diluluskan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar menjelaskan bahawa langkah itu bertujuan memastikan subsidi disalurkan secara bersasar kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan, di samping mengelakkan ketirisan.

“Pelaksanaan ini penting sebagai mekanisme pengurusan risiko supaya tidak berlaku penyalahgunaan atau penyeludupan subsidi,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil kira faktor geografi di Sabah dan Sarawak dengan menyediakan kaedah pendaftaran secara dalam talian serta bergerak bagi memudahkan penyertaan syarikat.

“Maklumat lanjut berkaitan kaedah permohonan dan kategori kenderaan yang layak akan diumumkan pada 1 Mei ini,” tambah beliau. ‎

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama