Kerani wanita dicekup Op Mabuk, pandu kereta bawah pengaruh alkohol

TAWAU: Seorang kerani wanita antara individu yang dicekup dalam Op Mabuk selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi di sekitar bandar ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, wanita tempatan berusia 39 tahun itu ditahan selepas ujian saringan alkohol pernafasan mendapati bacaan melebihi had dibenarkan.

Katanya, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bermula jam 11 malam hingga 1.30 pagi di Jalan Sim Hwa Seng dan Jalan St Patrick.

“Operasi ini adalah tindakan berterusan PDRM dalam membanteras pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sepanjang operasi itu sebanyak 48 kenderaan pelbagai jenis diperiksa manakala 50 individu turut disaring.

“Sebanyak enam saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya.

Beliau berkata, suspek wanita berkenaan terlebih dahulu menjalani ujian saringan menggunakan alat Screening Device 2 Plus (SD2+) sebelum dibawa ke BSPT IPD Tawau untuk ujian pengesahan menggunakan Evidential Breath Analyzer (EBA II).

“Keputusan ujian mendapati bacaan alkohol melebihi had dibenarkan sebelum suspek ditahan untuk tindakan lanjut dan kenderaan dipandunya disita,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di bawah Op Mentor Aduan di kawasan One Arena Kubota, polis turut menahan seorang remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun.

“Suspek didapati menunggang motosikal tanpa lesen memandu sah selain cukai jalan dan insurans kenderaan telah tamat tempoh,” katanya.

Menurutnya, remaja itu telah dikeluarkan saman dan akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

“Dalam operasi sama, tiga motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jasmin berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang, khususnya kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama