KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan
kadar pengangguran lima peratus bagi suku keempat 2025, mengatasi kadar
nasional sekitar tiga peratus dengan pengangguran dalam kalangan belia melebihi
10 peratus.
Menteri Sains, Teknologi dan
Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata situasi itu menuntut tindakan segera
khususnya dalam menangani ketidakpadanan kemahiran antara pencari kerja dan
keperluan industri.
"Kerajaan akan memperkasakan
komitmen dalam menangani isu pengangguran dan ketidakpadanan kemahiran melalui
inisiatif pendidikan perburuhan yang bersifat inklusif serta menyeluruh.
"Latihan kemahiran perlu
bergerak seiring dengan kehendak industri supaya Sabah tidak ketinggalan dalam
arus pembangunan global, terutama dalam era ekonomi digital," katanya.
Beliau berkata demikian ketika
merasmikan Pelepasan Konvoi Jelajah Pendidikan Perburuhan Sabah 2026 anjuran
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, pada Selasa.
Konvoi itu dijangka menjadi
platform mendekati masyarakat dengan maklumat berkaitan hak perburuhan, peluang
latihan serta laluan pembangunan kerjaya selain membantu merapatkan jurang
antara kemahiran tenaga kerja dan keperluan pasaran.
Menurut James, program berkenaan
menyasarkan usaha menangani pengangguran dan ketidakpadanan pekerjaan melalui
jelajah di lima lokasi utama iaitu Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Lahad Datu
dan Sandakan.
“Masyarakat bukan sahaja
didedahkan kepada hak dan tanggungjawab dalam dunia pekerjaan, malah diberi
peluang meningkatkan kemahiran serta pembangunan kerjaya,” katanya.
James turut memuji sinergi antara
agensi persekutuan dan negeri yang melibatkan lebih 10 agensi, antaranya KPSTI,
Jabatan Tenaga Kerja (JTK), PERKESO, HRD Corp, NIOSH dan Jabatan Pembangunan
Sumber Manusia (JPSM), selain institusi latihan kemahiran.
Beliau berkata usaha bersepadu
itu selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) memperkukuh modal insan berteraskan ilmu,
sains dan teknologi.
"Kita mahu melahirkan tenaga
kerja Sabah yang lebih berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing agar
tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan," tegasnya.
Turut hadir, Pembantu Menteri
KPSTI, Jordan Jude Ellron; Timbalan Setiausaha Tetap I KPSTI, Doria Tai Yun
Tyng; Pengarah JTK Sabah, Wan Zulkifli Wan Setapa serta Pengarah PERKESO Sabah,
Dr Mohd Ali Hindia.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
