Dua cedera parah, pacuan empat roda bertembung lori di Ranau

RANAU: Dua lelaki cedera parah, termasuk seorang tersepit, selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori trailer di Kampung Nunuk Ragang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.37 petang itu, mangsa berusia 78 tahun yang memandu Isuzu D-Max mengalami kecederaan parah, manakala penumpangnya berusia 24 tahun turut parah selepas tersepit di dalam kenderaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sepasukan lapan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 50 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.55 petang dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori trailer dengan kenderaan Isuzu D-Max.

“Seorang mangsa didapati tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera parah kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Penginatan dengan menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemandu lori berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Operasi ditamatkan pada jam 7.27 malam selepas keadaan disahkan selamat,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama