Dua wanita maut kemalangan ngeri babit lima kenderaan

LAHAD DATU: Dua wanita maut dalam kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 14, Jalan Lahad Datu-Tawau, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kemalangan membabitkan dua motokar, sebuah lori, sebuah motosikal dan sebuah jentera pembinaan jenis Hitachi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Proton Saga dipandu wanita berusia 21 tahun bersama enam penumpang dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu dipercayai hilang kawalan.

“Kereta itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori jenis rigid dumper yang dipandu lelaki berusia 45 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, lori terbabit memasuki laluan bertentangan lalu melanggar sebuah Perodua Alza dipandu lelaki berusia 32 tahun serta sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 20 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, impak pelanggaran menyebabkan lori dan Perodua Alza terjatuh ke dalam gaung di kawasan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di bahu kiri jalan.

“Perodua Alza itu kemudian melanggar sebuah jentera Hitachi yang tidak bergerak di lokasi pembinaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang hadapan wanita berusia 35 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Lahad Datu.

“Semua penumpang belakang Proton Saga serta penunggang motosikal dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

“Pemandu lori dan Perodua Alza pula tidak mengalami kecederaan serius. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 198 ,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Dalam pada itu, Jimmy menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan bagi mengelakkan kemalangan yang boleh mengancam nyawa.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama