Penangguhan 40% hasil Sabah cetus kebimbangan, beri isyarat komitmen Putrajaya 'kurang meyakinkan' - Azrul


KOTA KINABALU: Keputusan menangguhkan pelaksanaan bayaran 40 peratus hasil Sabah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat negeri ini, kata Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Azrul Ibrahim.

Katanya, walaupun Kerajaan Persekutuan mengesahkan bahawa formula 40 peratus tersebut terpakai kepada Sabah serta keperluan semakan semula diakui, penangguhan berkenaan dilihat memberi isyarat kurang meyakinkan terhadap komitmen pelaksanaannya.

“Perkembangan ini menimbulkan persoalan kerana rayuan di Mahkamah Rayuan yang melibatkan ‘Tahun-Tahun Hilang’ dari 1974 hingga 2021 sepatutnya tidak menghalang usaha menyemak dan melaksanakan bayaran bagi tahun semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azrul menegaskan, kedua-dua perkara itu perlu dilihat secara berasingan dan ditangani secara lebih konstruktif tanpa menjejaskan kepentingan rakyat Sabah.

Menurutnya, negeri itu amat memerlukan tambahan peruntukan berkenaan bagi membangunkan infrastruktur asas serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Pelaksanaannya tidak wajar ditangguhkan dan perlu disegerakan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hak 40 peratus tersebut bukanlah satu bentuk rundingan politik atau bahan tawar-menawar, sebaliknya merupakan hak berasaskan Perlembagaan yang perlu dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Sehubungan itu, Azrul berkata, ketelusan amat penting termasuk penyediaan garis masa yang jelas dan komprehensif mengenai pelaksanaan semakan serta pembayaran berkenaan.

“Rakyat Sabah berhak mengetahui hala tuju sebenar perkara ini tanpa sebarang ketidakpastian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa hubungan Persekutuan dan negeri perlu diperkukuh melalui keikhlasan serta kesungguhan mencari penyelesaian tanpa bergantung sepenuhnya kepada proses mahkamah.

Katanya, perkara yang melibatkan kepentingan rakyat tidak seharusnya terus tertangguh.

Mengulas lanjut, Azrul menyeru rakyat Sabah agar kekal tenang, bersatu dan konsisten dalam memperjuangkan hak negeri itu secara berhemah dan berterusan.

“Perjuangan ini adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan hak Sabah dilaksanakan seperti yang termaktub,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama