![]() |
| Hajiji (tengah) menyaksikan Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara IJN dan Kumpulan Yayasan Sabah. |
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd, Datuk Jasnih Daya berkata, MOU berkenaan menjadi sebuah komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor kesihatan demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, kerjasama tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam mengurangkan kebergantungan pesakit Sabah terhadap kemudahan rawatan di Kuala Lumpur, khususnya di IJN.
“Peningkatan kes penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi telah menyumbang kepada peningkatan kes penyakit jantung dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
“Di Sabah, kes penyakit jantung dan berkaitan kardiovaskular terus menunjukkan peningkatan, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan rawatan pakar jantung yang lebih komprehensif dan mudah diakses oleh rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Institut Jantung Negara yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, hari ini.
Hadir sama menyaksikan MOU berkenaan adalah Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulamhaidar Yusof Khan dan Setiausaha.
Menurutnya, sebahagian besar pesakit jantung dari Sabah masih perlu mendapatkan rawatan di Semenanjung.
Perkara itu dilihat bukan sahaja melibatkan kos rawatan tinggi, malah turut membebankan dari segi perbelanjaan perjalanan, penginapan serta tempoh menunggu yang panjang.
“Ia dapat mempercepatkan akses kepada rawatan pakar dan mengurangkan risiko pesakit mendapatkan rawatan pada peringkat lewat.
“Tapak pembinaan hospital berkenaan telah dikenal pasti di Likas, melibatkan kawasan seluas kira-kira 10 ekar yang telah diwartakan lebih awal sebagai lokasi pembangunan kemudahan kesihatan tersebut,” ujarnya.
Selain meningkatkan akses rawatan, projek ini juga dijangka menyokong keupayaan sedia ada di Hospital Queen Elizabeth II yang kini berdepan kekangan kapasiti berbanding permintaan semasa.
Dalam pada itu, kerjasama strategik ini turut merangkumi pembangunan modal insan melalui kolaborasi antara University College Sabah Foundation (UCSF) dan IJN University College bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang kesihatan.
“Setakat ini, seramai 15 pelajar dari Sabah telah dihantar untuk mengikuti latihan dan kursus berkaitan di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada usaha awal membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang kardiovaskular,” tambah beliau.
Jasnih menambah bahawa inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kumpulan Yayasan Sabah untuk terus memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan, di samping memperluaskan penglibatan dalam sektor kesihatan melalui anak syarikatnya.
Katanya, pembinaan hospital jantung ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi peningkatan akses kepada rawatan kesihatan, malah dijangka membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan di Sabah dalam jangka yang panjang.
