![]() |
| Wilfred Madius Tangau. |
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, mempersoalkan keikhlasan rundingan bayaran 40 peratus hak Sabah, yang disifatkan masih tidak menunjukkan perkembangan jelas walaupun tempoh ditetapkan hampir berakhir.
Kata beliau, Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan segera berhubung bayaran 40 peratus hak Sabah, bukannya terus menangguhkan pelaksanaannya.“Persoalannya, adakah rundingan itu benar-benar ikhlas? Adakah pihak Persekutuan serius untuk menyelesaikan perkara ini?.
“180 hari itu bersamaan setengah tahun. Ia lebih daripada cukup, namun kita masih tidak nampak komitmen jelas untuk melaksanakan hak Sabah,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Aman Justice4Sabah yang bertempat di Padang Merdeka, di sini, semalam.
Menurutnya, kegagalan memanfaatkan tempoh tersebut menimbulkan persoalan terhadap kesungguhan pihak berkaitan dalam menunaikan hak Sabah seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan.
“Saya masih ingat di Dewan Rakyat, ketika Menteri Kewangan pada masa itu menyatakan bahawa hak Sabah tidak lagi wujud, hanya berdasarkan satu warta pada tahun 1970 yang menyebut jumlah tertentu.
“Daripada situ, barulah kita sedar bahawa walaupun hak itu masih termaktub dalam Perlembagaan, sikap kepimpinan pada masa itu menganggap ia tidak wujud.
“Malah, ada yang mengatakan bahawa ia sekadar pemberian, bukan hak.
“Namun selepas keputusan Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu, telah ditegaskan bahawa hak 40 peratus itu masih wujud dan rundingan sebelum ini yang tidak berasaskan hak tersebut merupakan satu pelanggaran undang-undang,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak akan terus berdiam diri terhadap isu berkenaan, sebaliknya akan terus menyuarakan tuntutan melalui saluran yang sah.
“Hari ini, hak itu hanya disebut semula kerana mahkamah telah mengesahkannya. Jika kita tidak bersuara secara konsisten, mungkin ia terus dinafikan,” tegas beliau.
Menurut beliau, pelaksanaan rundingan berhubung bayaran 40 peratus hak Sabah akan terus menjadi perhatian kerana timbul persoalan mengenai tahap kesungguhan dan ketelusan proses tersebut.
“Walaupun mahkamah sebelum ini telah mengarahkan supaya rundingan dimulakan dalam tempoh 90 hari dan diselesaikan dalam tempoh 180 hari, perkembangan setakat ini dilihat tidak memenuhi jangkaan apabila hanya beberapa sesi rundingan diadakan sepanjang tempoh enam bulan berkenaan.
“Keadaan itu mencetuskan persoalan sama ada rundingan yang dijalankan benar-benar dilakukan secara serius bagi mencapai penyelesaian muktamad terhadap tuntutan tersebut,” katanya.
Katanya, tanpa ketelusan yang mencukupi, usaha rundingan berkenaan berisiko dianggap sekadar kenyataan politik tanpa hasil yang nyata kepada rakyat negeri itu.
Seiring dengan itu, satu himpunan Aman Justice4Sabah telah dianjurkan oleh beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada Jumaat sebagai tanda solidariti daripada rakyat Sabah.
“Hari ini, kita ada 19 NGO yang hadir. Saya percaya masih banyak lagi NGO di Sabah yang boleh bersama dalam perjuangan ini.
“Ini bukan perjuangan politik, ini adalah perjuangan Sabah.
“Kita mesti bersatu hati sebagai anak Sabah untuk menuntut hak 40 peratus,” tambahnya.
