KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus memperketat operasi penguatkuasaan apabila menahan seramai 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi beberapa operasi bersepadu di sekitar bandar raya ini.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata tangkapan itu dibuat hasil pelaksanaan Ops Gegar, Ops Selera, Ops Kutip dan Ops Sapu yang dijalankan secara berasingan.
Menurutnya, dalam Ops Gegar, seramai 114 individu diperiksa dengan 22 warga Filipina ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua yang ditahan dalam operasi itu membabitkan 12 lelaki dewasa dan 10 perempuan dewasa,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Beliau berkata, bagi Ops Selera dan Ops Kutip pula, seramai 120 individu diperiksa dengan 11 warga Filipina ditahan membabitkan dua lelaki dewasa dan sembilan perempuan dewasa.
Katanya, Ops Sapu turut dijalankan dengan pemeriksaan ke atas 49 individu dan membawa kepada penahanan 22 warga asing terdiri daripada dua lelaki dewasa, tujuh perempuan dewasa, selain 13 kanak-kanak.
“Secara keseluruhan, ketiga-tiga operasi ini membabitkan pemeriksaan ke atas 283 individu dengan jumlah tangkapan seramai 55 warga asing,” katanya.
Sitti Saleha berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini.
