Anggota polis ditempatkan di stesen minyak bendung ketirisan, penyeludupan bahan api

KOTA KINABALU: Kerajaan memperluaskan penugasan statik penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di stesen minyak dengan penempatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan bahan api.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April lalu sebagai langkah memperkasa pemantauan di kawasan berisiko tinggi terutama berhampiran sempadan.

Menurutnya, langkah berkenaan diambil susulan peningkatan risiko ketirisan petrol dan diesel akibat krisis tenaga global yang tercetus berikutan konflik di Asia Barat.

“Sejak 20 Mac lalu, penguat kuasa KPDN sudah ditempatkan secara berkala di stesen minyak sekitar kawasan sempadan seluruh negara.

“Bagaimanapun, laporan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan mendapati keperluan untuk memperluaskan pemantauan statik ke lebih banyak lokasi berisiko,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata, penglibatan PDRM amat diperlukan bagi menampung kekangan jumlah anggota penguat kuasa KPDN selain memastikan pemantauan lebih menyeluruh terhadap status bekalan dan harga barangan.

Beliau berkata, krisis tenaga global turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan dan barangan, khususnya melibatkan sumber import.

“Fasa pertama bermula 20 Mac hingga 10 April lalu membabitkan 87 stesen minyak, manakala fasa kedua yang bermula minggu depan akan melibatkan tambahan 70 stesen bersama penugasan anggota Polis.

“Kita akan terus memantau keperluan peluasan ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan penglibatan sukarelawan RELA bagi membantu pemantauan statik di stesen minyak seluruh negara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama