KENINGAU: Seorang aktivis masyarakat menegaskan laporan polis sudah dibuat berhubung isu melibatkan seorang pempengaruh media sosial di Sabah, selain tindakan lanjut akan dikemukakan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Aktivis masyarakat, Shahrizal Mohd Shom menerusi hantaran di Facebook berkata, laporan kepada pihak berkuasa agama itu penting bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap kes berkenaan.
Menurutnya, tindakan memaparkan kandungan berkaitan minuman memabukkan secara terbuka di media sosial tidak wajar, lebih-lebih lagi jika melibatkan individu beragama Islam.
Katanya, masyarakat kini sudah berdepan dengan kesan buruk akibat penyalahgunaan arak, justeru perbuatan mempromosikan atau menormalisasikan perkara tersebut hanya akan memburukkan keadaan.
“Sebagai seorang pempengaruh yang mempunyai ramai pengikut, seharusnya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat khususnya generasi muda.
“Kita juga tidak sepatutnya mengulangi kesalahan yang sama selepas memohon maaf, sebaliknya perlu lebih bertanggungjawab terhadap setiap kandungan yang dimuat naik,” katanya.
Beliau turut berharap JHEAINS mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan perkara tersebut berulang dan menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat Islam.
Shahrizal berkata, perbuatan meminum minuman memabukkan dalam kalangan orang Islam adalah kesalahan di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 (Negeri Sabah).
Sebelum ini, isu berkenaan tular di media sosial selepas seorang pempengaruh dikenali sebagai Nadzriofficial yang mempunyai lebih 66,000 pengikut di Facebook didakwa memuat naik kandungan berkaitan arak.
Bagaimanapun, pempengaruh itu tampil memohon maaf hari ini susulan kontroversi kandungan yang dimuat naiknya.
“Permohonan maaf kepada semua masyarakat yang terasa hati dengan saya. Dengan ini saya rendah hati ingin meminta maaf kepada kamu semua.
"Saya akan jadikan ini sebagai satu pelajaran yang cukup besar dalam hidup saya yang tidak ingin saya ulang lagi,” katanya.
Isu tersebut turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya menggesa agar tindakan sewajarnya diambil selain menasihatkan supaya pempengaruh lebih berhati-hati dalam memuat naik kandungan di media sosial.
