![]() |
Jamawi (tengah) bersama isteri menyantuni dan menyambut kehadiran orang ramai ke Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri. |
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi kerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada menerima manfaat tersebut.
“Kita telah berbincang dengan KPDN supaya mereka ini dapat didaftarkan dan seterusnya menikmati subsidi bahan api,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dihoskan oleh beliau bersama isterinya di Dewan Seri Panglima Antanom, di sini.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang; Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Pembantu Menteri I Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Lumadan, Datuk Haji Ruslan Muharam; Pembantu Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi & Inovasi merangkap ADUN Tulid, Jordan Jude Ellron serta Ketua Daerah DUN Melalap, OKK Tusip Tulas.
Sehubungan itu, Jamawi menggesa golongan terlibat agar tampil mendaftar dan berhubung dengan pegawai berkaitan bagi memudahkan proses penyelarasan.
Beliau turut memberi jaminan kementerian akan terus berusaha memastikan bantuan disalurkan secara lebih menyeluruh dan tersusun kepada semua kumpulan sasar.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas keputusan mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak, yang disifatkan sebagai langkah penting membantu rakyat.
“Kita memahami kebanyakan rakyat Sabah menggunakan kenderaan diesel, khususnya kenderaan pacuan empat roda, disebabkan faktor geografi, jarak antara pekan yang jauh serta keadaan jalan raya yang belum setara dengan di Semenanjung.
“Kita gunakan kemudahan ini sebaiknya. Jika ada lebihan, berjimatlah kerana ia penting untuk masa depan. Jangan membazir,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Melalap turut menasihati para pengusaha untuk sentiasa berwaspada, terutama ketika musim panas ketika ini.
“Kita nasihatkan supaya elakkan pembakaran terbuka kerana ia boleh mengundang risiko kebakaran serta menjejaskan alam sekitar,” tambahnya.
Sementara itu, kira-kira 8,000 penduduk dari Tenom, Kemabong dan Melalap memeriahkan sambutan rumah terbuka berkenaan dalam suasana harmoni, mencerminkan sifat harmoni dalam kalangan rakyat Sabah.
