KOTA KINABALU: Pemilik tanah diwajibkan memohon pecah bahagi sebelum menjual mana-mana unit petak, atau berdepan denda sehingga RM1 juta sekiranya gagal mematuhi ketetapan itu.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, kegagalan memohon pecah bahagi dalam tempoh ditetapkan selepas unit dijual atau dipersetujui untuk dijual merupakan satu kesalahan serius.
Menurutnya, kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta, selain denda tambahan sehingga RM1,000 sehari selepas sabitan.
“Bagi bangunan yang telah siap sebelum kuat kuasa enakmen, permohonan hendaklah dibuat dalam tempoh enam bulan atau sebelum penjualan unit, yang mana lebih awal.
“Manakala bagi bangunan yang didirikan selepas kuat kuasa enakmen, permohonan perlu dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh sijil super structure dikeluarkan,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjelaskan, ketetapan itu bertujuan memastikan urusan pemilikan lebih tersusun serta melindungi kepentingan pembeli hartanah.
Dalam pada itu, Isnin berkata, RUU berkenaan turut membawa pembaharuan dengan meluaskan skop undang-undang yang sebelum ini hanya tertumpu kepada bangunan, kepada merangkumi tanah termasuk pembangunan yang mempunyai lebih daripada satu bangunan.
Katanya, langkah tersebut selari dengan keperluan pembangunan semasa yang semakin kompleks dan pelbagai di Sabah.
Selain itu, menurutnya, RUU itu turut memperketat keperluan dokumentasi permohonan seperti pelan pecah bahagi, geran tanah, pelan bangunan diluluskan serta sijil berkaitan bagi meningkatkan ketepatan data dan mengurangkan pertikaian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, aspek penguatkuasaan turut diperkukuh apabila pegawai diberi kuasa lebih luas termasuk memasuki premis, menjalankan siasatan dan menyita dokumen berkaitan.
“Mahkamah juga mempunyai kuasa untuk mengarahkan pemilik membuat permohonan pecah bahagi dalam tempoh tertentu sekiranya gagal berbuat demikian,” katanya.
RUU itu dicadangkan bagi menggantikan Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 1972 dengan kerangka perundangan lebih moden dan komprehensif, selaras dengan perkembangan industri hartanah semasa di negeri ini.
