KOTA KINABALU: Kes malaria monyet terus mendominasi jangkitan malaria di Sabah dengan lebih 1,100 kes direkodkan sepanjang tahun lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko penularan terutama dalam kalangan komuniti berhampiran kawasan hutan.
Profesor Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Jenarun Jelip berkata, secara keseluruhan Malaysia merekodkan 2,596 kes malaria pada 2025, dengan sebahagian besar membabitkan malaria monyet.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 2,063 kes adalah malaria monyet manakala 533 kes lagi merupakan malaria manusia yang kebanyakannya kes import.
“Malaysia kini tidak lagi berdepan penularan tempatan malaria manusia, namun malaria monyet masih menjadi risiko utama terutama di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, jangkitan berlaku apabila nyamuk daripada genus Anopheles yang membawa parasit selepas menggigit monyet, kemudiannya menjangkiti manusia.
Katanya, golongan paling berisiko ialah mereka yang kerap berada di kawasan hutan seperti pekerja pembalakan, penyelidik, penggiat ekopelancongan serta aktiviti rekreasi.
“Simptom malaria biasanya termasuk demam berulang, menggigil dan berpeluh. Corak demam juga berbeza mengikut jenis parasit berbanding denggi,” katanya.
Beliau berkata, antara cabaran utama rawatan ialah kelewatan mendapatkan rawatan serta ketidakpatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat.
“Rawatan biasanya mengambil masa sekitar tiga hari, namun ada kes memerlukan sehingga dua minggu serta pemantauan di hospital,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan langkah pencegahan termasuk memakai pakaian berlengan panjang, penggunaan losyen penghalau nyamuk dan peralatan perlindungan diri.
Tambahnya, Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini giat menjalankan penyelidikan termasuk pembangunan kaedah pengesanan pantas serta memperkukuh program pencegahan berasaskan komuniti.
“Kita mahu komuniti khususnya yang tinggal berhampiran hutan lebih peka dan mampu melindungi diri daripada jangkitan malaria monyet,” katanya.
.png)