TAWAU: Kegiatan penyeludupan minyak paket bersubsidi dalam kuantiti kecil ke negara jiran dipercayai dijadikan taktik untuk mengaburi pihak berkuasa.
Namun cubaan itu gagal apabila sebuah bot kargo tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau, tengah hari tadi.
Bot terbabit dipintas kira-kira jam 12.40 tengah hari di kedudukan 1.5 batu nautika utara Muara Sungai Aji Kuning ketika sedang bergerak laju menuju ke Pulau Sebatik dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, penahanan itu hasil risikan menerusi Op Pluto Timur dan Op Tiris yang dijalankan di perairan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan menemukan 14 kotak minyak paket bersubsidi dan enam gelen bahan api dianggarkan 120 liter tanpa sebarang permit sah.
“Walaupun dalam kuantiti kecil, kegiatan ini dipercayai dilakukan secara berulang sebagai helah untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bot berkenaan dikendalikan lelaki tempatan berusia 29 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati juragan itu tidak berdaftar dalam lesen bot digunakan, sekali gus menimbulkan syak berlaku pelanggaran undang-undang berkaitan kawalan bekalan dan perkapalan tempatan,” katanya.
Susulan itu, katanya, juragan bersama bot dan muatan ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
"Maritim Malaysia turut menyita bot kargo, enjin serta muatan dengan nilai anggaran RM43,000," katanya.
Ariffin menegaskan penguatkuasaan akan terus diperkukuh khususnya di perairan Tawau yang dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti penyeludupan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera," katanya.

