Bunuh kekasih rakan senegara, remaja Indonesia dipenjara sehingga dapat perkenan TYT

Tertuduh remaja warga Indonesia yang didapati bersalah membunuh kekasihnya dihukum penjara sehingga mendapat perkenan TYT Sabah. Foto | SS.

TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehingga mendapat perkenan Tuan Yang Dipertua Negeri Sabah keatas seorang remaja lelaki warga Indonesia selepas didapati bersalah membunuh kekasihnya yang juga rakan senegara di sebuah ladang sawit dekat Kalabakan, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos, dalam keputusan pada prosiding hari ini menyatakan bahawa hukuman itu menurut Seksyen 97(2)(b) Akta kanak-kanak 2001 setelah mahkamah mempertimbangkan keseluruhan fakta Kes, faktor kepentingan awam serta laporan akhlak dikemukakan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat

Mahkamah juga katanya mendapati dalam kes berkenaan kepentingan awam melebihi faktor-faktor yang dibentangkan oleh peguam bela.

Mahkamah Tinggi Tawau Pada 26 Februari lalu memutuskan bahawa tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mahkamah berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, sekali gus mensabitkan tertuduh atas pertuduhan tersebut.

Pada 13 Ogos 2024, tertuduh yang kini berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh kekasihnya Nur Zahirah Safarudin, 13, antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 4 Januari 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Liew Hon Min.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama