TAWAU : Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dipandunya dalam kemalangan membabitkan sebuah pikap yang membawa muatan ikan dan udang di Batu 9, Jalan Kalabakan, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Awang Matnor, 65, dari Taman Luahan, Keningau, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awam mendapati pikap jenis Toyota Hilux dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum berpusing dan terbabas ke dalam parit di bahu kiri jalan.
"Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa tercampak keluar melalui cermin hadapan sebelum terjatuh ke dalam longkang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Klinik Kalabakan yang tiba tidak lama selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jasmin berkata, seorang penumpang lelaki warga Filipina berusia 40 tahun yang berada di tempat duduk hadapan turut cedera parah selepas tersepit di dalam kenderaan.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dikejarkan ke Hospital Tawau.
“Dia kini ditempatkan di Zon Merah bagi menerima rawatan rapi susulan kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya sambil menambah kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Bandar Tawau menuju ke Keningau ketika kejadian berlaku.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemandu yang membawa muatan supaya sentiasa berhati-hati, berhemah serta mengawal kelajuan terutama di kawasan jalan berselekoh.
