Kerja naik taraf Pusat Jantung Sabah sedang giat dilaksana - Julita

Julita bersama delegasi mengambil gambar berkumpulan bersama kakitangan HQE II semasa lawatan.

KOTA KINABALU: Usaha memperkasa perkhidmatan rawatan kardiologi di Sabah terus dipergiat menerusi pelaksanaan naik taraf Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Julita Majungki berkata, proses dan kerja awalan menaiktaraf kemudahan tersebut di bangunan hospital sedia ada kini berjalan lancar.

“Ruang sedia ada sedang dinaik taraf untuk mewujudkan seksyen khas bagi Pusat Jantung Sabah yang lebih canggih.

“Secara fizikal, kerja menaik taraf belum memasuki fasa itu sepenuhnya, tetapi beberapa fasa sedang dirancang dan dalam proses pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke hospital berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha menilai sendiri operasi serta keperluan fasiliti kesihatan di negeri ini.

Hadir sama dalam lawatan berkenaan ialah Pembantu Menteri KWKKR, Datuk Rina Jainal; Setiausaha Tetap KWKKR, Datuk Maria Chong; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr William Gotulis; serta Pengarah HQE II, Dr Ferro Firdaus Ibrahim.

Menurutnya, lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada siri pemantauan ke hospital di seluruh Sabah bagi memastikan setiap fasiliti kesihatan dapat beroperasi dengan lebih baik dan menyediakan perkhidmatan yang selesa kepada rakyat.

“Ini adalah lawatan kerja yang memang saya niatkan untuk buat bersama pihak JKNS dan pasukan Kementerian. Daripada 24 hospital di Sabah, ini baru yang kedua saya lawati,” jelasnya.

Julita turut menegaskan bahawa pendekatan turun padang membolehkannya melihat sendiri cabaran sebenar yang dihadapi di lapangan.

“Ada beberapa perkara yang perlu kita selesaikan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri, contohnya isu tempat letak kereta.

“Ini penting bukan sahaja untuk pesakit, tetapi juga untuk doktor, jururawat dan kakitangan lain di sini,” ujar beliau.

Lawatan itu merupakan kesinambungan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, khususnya dalam penyediaan kemudahan rawatan pakar yang lebih moden dan menyeluruh untuk rakyat Sabah.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama