Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata, panel Mahkamah Rayuan telah selesai mendengar hujahan berkaitan permohonan penangguhan pelaksanaan (stay of execution) itu hari ini.
Menurutnya, permohonan berkenaan melibatkan persoalan sama ada perintah Mahkamah Tinggi termasuk garis masa yang ditetapkan, kekal berkuat kuasa sementara menunggu proses rayuan diselesaikan.
“SLS mengambil maklum bahawa Mahkamah Rayuan telah menetapkan 6 April 2026 sebagai tarikh keputusan bagi permohonan ini.
“Kami akan meneliti keputusan yang bakal diumumkan dan mengambil langkah sewajarnya berdasarkan ketetapan mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam tempoh menunggu keputusan itu, pihaknya akan terus berpegang kepada arahan serta ketetapan yang telah ditentukan oleh mahkamah.
Terdahulu, isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah sebelum ini menjadi perhatian apabila Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berkaitan pelaksanaannya, sekali gus mencetuskan proses perundangan lanjut di peringkat rayuan.
