KENINGAU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) susulan kemalangan yang meragut nyawa seorang pelajar sekolah di Jalan Keningau-Apin-Apin, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 6.15 petang semalam oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Keningau.
Menurutnya, penahanan itu dibuat susulan penularan video berdurasi 28 saat di media sosial yang memaparkan sebuah kenderaan berhenti di lorong laju sebelah kanan menghala ke pekan Keningau.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 20 April kira-kira jam 6.40 pagi membabitkan sebuah Toyota Revo dan motosikal jenis WMOTO.
“Penunggang motosikal yang datang dari arah Bulatan Hospital menuju ke pekan Keningau dipercayai melanggar bahagian belakang kenderaan 4WD yang berhenti secara tiba-tiba di lorong laju,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9.30 pagi hari sama.
Katanya, lelaki yang ditahan itu kini direman bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.
