MPP UMS berjaya raih RM1.5 juta, hasil memorandum kepada KPT

 Dr Zambry (tengah) sedang meneliti memorandum yang disampaikan Allen (tepi kiri) sebelum meluluskan peruntukan RM1.5 juta

KOTA KINABALU: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya memperoleh peruntukan berjumlah RM1.5 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkasa kebajikan serta pembangunan mahasiswa di universiti berkenaan.

Peruntukan itu diperoleh menerusi memorandum yang diserahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, semasa lawatan kerja beliau ke Dapur Siswa Madani UMS pada Ahad lalu.

Presiden MPP UMS, Allen Paul Justinus Situ berkata, memorandum tersebut menggariskan tiga kluster utama yang menjadi keutamaan mahasiswa universiti berkenaan.

“Memorandum yang disediakan oleh MPP UMS merangkumi tiga kluster utama sebagai tunjang kepada tuntutan mahasiswa.

“Kluster A memfokuskan kepada usaha merapatkan jurang infrastruktur dan digital antara UMS dengan universiti awam di Semenanjung Malaysia.

“Kluster B pula menekankan keperluan mendesak bagi pemodenan fasiliti pembelajaran praktikal demi meningkatkan daya saing graduan, manakala Kluster C memastikan kestabilan bekalan asas serta ketahanan infrastruktur kampus dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Datuk Dr Zambry Abd Kadir telah meluluskan serta-merta peruntukan sebanyak RM1.5 juta yang dikhususkan di bawah Kluster B, melibatkan pemodenan makmal dan peningkatan kebolehpasaran graduan.

“Dana tersebut bertujuan mengatasi isu keterbatasan akses kepada peralatan makmal serta mempertingkatkan prasarana teknologi maklumat (IT) di kampus UMS.

“Langkah ini dijangka memberi impak positif secara langsung kepada kualiti pembelajaran pelajar dan seterusnya meningkatkan daya saing graduan UMS dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Allen berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada kementerian atas keprihatinan terhadap keperluan mahasiswa di Sabah.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan Menteri KPT yang mendengar suara kami.

“Peruntukan ini adalah satu berita gembira buat seluruh warga UMS. 

“Kejayaan membawa pulang peruntukan bernilai jutaan ringgit ini sekali gus membuktikan keberkesanan dan kepentingan peranan MPP dalam ekosistem pendidikan di UMS,” ujarnya. 

MPP UMS merupakan badan rasmi yang mewakili suara mahasiswa serta berperanan sebagai penghubung antara pelajar dan pengurusan universiti, termasuk dalam memperjuangkan kebajikan dan pembangunan holistik mahasiswa.

Kepimpinan mereka dipilih secara demokratik melalui Pilihan Raya Kampus (PRK), selaras dengan peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama