Lelaki berdepan hukuman mati miliki lebih 600 gram ganja

PENAMPANG: Lelaki tempatan berdepan hukuman mati selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah menerusi Op Tapis yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan dalam serbuan di Jalan Pantai Berahi, Putatan semalam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui enam paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 641.82 gram dengan nilai sekitar RM1,890.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“Usaha membanteras jenayah dadah akan terus dipergiat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.


“Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi membantu tindakan segera pihak berkuasa,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama