Pelan intervensi khas selamatkan koperasi tidak aktif di Sabah - Mohamad

Mohamad ketika ditemui pemberita, di sini.


KOTA KINABALU: Kerajaan sedang melaksanakan pendekatan intervensi secara lebih menyeluruh bagi memulihkan koperasi yang tidak aktif di seluruh negara, termasuk di Sabah, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin.

Menurutnya, usaha itu merupakan sebahagian daripada ‘rescue plan’ atau pelan pemulihan koperasi yang dilihat semakin diperlukan bagi mengelakkan lebih banyak koperasi terus lesu atau terpaksa ditutup.

“Daripada lebih 2,000 koperasi yang direkodkan di Sabah, hanya sekitar 60 peratus sahaja yang berada dalam keadaan aktif, manakala selebihnya memerlukan perhatian dan intervensi segera.

“Melalui program intervensi ini, kita tidak mahu melihat koperasi dibiarkan mati perlahan-lahan. Kita mahu bantu hidupkan semula, sama ada melalui bimbingan pengurusan, penstrukturan semula atau pendekatan konsolidasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Bicara Koperasi dan JomKooP anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di sini, hari ini.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Ketua Pengarah Institut Koperadi Malaysia (IKMA), Datuk Mohd Ali Mansor.

Mohamad turut menegaskan bahawa pendekatan baharu ini bukan sekadar menangani masalah semasa, tetapi memberi nafas baharu kepada koperasi agar mampu kembali berfungsi sebagai entiti perniagaan yang mampan.

“Kita lihat koperasi yang lemah ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Melalui intervensi, kita akan turun padang, bantu kenal pasti masalah dan cari penyelesaian yang sesuai mengikut situasi masing-masing,” jelasnya.

Tambah beliau, antara langkah yang turut dipertimbangkan ialah penggabungan atau konsolidasi koperasi-koperasi yang tidak lagi mampu berdiri sendiri, bagi memastikan ia dapat terus beroperasi secara lebih kukuh.

Dalam pada itu, beliau berkata perubahan minda dalam kalangan anggota koperasi juga amat penting bagi memastikan sektor ini tidak lagi dilihat sebagai entiti kebajikan semata-mata,tapi mampu menjana pendapatan.

“Koperasi perlu dilihat sebagai entiti perniagaan.

“Dengan pengurusan yang profesional dan anggota yang komited, kita yakin koperasi boleh kembali menjadi pemacu ekonomi komuniti,” ujarnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pelbagai bentuk sokongan termasuk geran, pembiayaan dan dana pembangunan akan terus disediakan bagi memperkukuh ekosistem koperasi di negara ini.

“Program intervensi tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara dengan fokus utama kepada koperasi yang dikenal pasti tidak aktif atau berdepan masalah operasi serius,” tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama