![]() |
| Hajiji turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan semua bantuan dapat disalurkan dengan segera dan berkesan. |
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata keutamaan ketika ini adalah menjamin keselamatan serta menyediakan keperluan asas kepada semua mangsa yang terjejas.
Beliau berkata, insiden kebakaran yang melibatkan ratusan rumah itu amat mendukacitakan dan memerlukan tindakan segera serta penyelarasan menyeluruh daripada semua pihak berkaitan.
“Kerajaan Negeri telah menggerakkan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan mangsa sentiasa terjamin, di samping menyediakan bantuan segera agar mereka berada dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, antara fokus utama ketika ini adalah penyediaan tempat perlindungan sementara yang selamat selain bekalan makanan serta keperluan asas mencukupi kepada mangsa.
Kebakaran yang berlaku di Kampung Bahagia itu dilaporkan memusnahkan kira-kira 200 ratus kediaman atas air, sekali gus menyebabkan ramai penduduk hilang tempat tinggal dalam sekelip mata.
Hajiji turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan semua bantuan dapat disalurkan dengan segera dan berkesan.
“Keutamaan kita adalah kebajikan mangsa. Segala usaha akan dipergiat bagi memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat.
