200 rumah atas air musnah kebakaran besar di Sandakan




SANDAKAN: Kira-kira 200 rumah atas air di Kampung Bahagia, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, api dilaporkan marak dengan cepat sehingga menerangi seluruh kawasan penempatan berkenaan.

Kebakaran dipercayai merebak pantas berikutan keadaan rumah yang rapat selain faktor angin kencang, sekali gus menyukarkan usaha mengawal api.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, seramai 30 anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, operasi turut dibantu lima anggota dari BBP Kinabatangan.

“Pasukan bomba berdepan kesukaran berikutan laluan sempit ke kawasan kampung selain keadaan air laut surut yang menyukarkan mendapatkan sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, beberapa aliran hos digunakan dengan sumber air diperoleh daripada jentera tangki serta pili bomba berhampiran.

Katanya, operasi turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Setakat ini, kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya dan operasi pemadaman sedang dijalankan,” katanya

Beliau berkata, jumlah mangsa yang terjejas masih belum dapat dipastikan manakala punca kejadian sedang disiasat.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama