Pelajar lepasan SPM Sabah digalak terokai bidang strategik-Mustapha

Mustapha Sakmud.

KOTA KINABALU: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah diseru agar berani meneroka pelbagai bidang strategik yang berpotensi tinggi dalam memacu ekonomi masa depan, selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud berkata, selain laluan akademik tradisional, peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta industri semikonduktor kini semakin berkembang dan perlu dimanfaatkan oleh generasi muda.

“Sehubungan itu, saya ingin menyarankan kepada para lepasan SPM agar berani meneroka pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya yang semakin berkembang.

“Selain laluan akademik tradisional, peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta industri semikonduktor kini menjadi antara sektor strategik yang memacu ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, dalam menghadapi cabaran global termasuk konflik tenaga dunia, lepasan SPM juga digalakkan untuk menceburi sektor tenaga baharu dan tenaga boleh diperbaharui yang semakin penting.

“Seiring dengan isu terkini mengenai konflik tenaga dunia , para lepasan juga digalakkan untuk meneroka peluang dalam sektor tenaga baharu dan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) seperti tenaga solar, hidro dan teknologi hijau.

“Sabah dan Sarawak mempunyai potensi besar dalam sektor ini, dan generasi muda perlu bersedia untuk menjadi tenaga mahir yang akan memimpin transformasi tenaga negara ke arah masa depan yang lebih mampan,” jelasnya.

Katanya, bidang-bidang strategik tersebut bukan sahaja membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, malah memberi ruang kepada anak Sabah untuk bersaing di peringkat lebih luas termasuk dalam ekonomi digital dan pembangunan lestari.

“Bidang-bidang ini bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, malah membuka ruang kepada anak Sabah dan Sarawak untuk menjadi peneraju dalam ekonomi digital, industri berteknologi tinggi serta pembangunan lestari di peringkat global,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa keputusan SPM hanyalah permulaan kepada perjalanan masa depan dan generasi muda perlu terus berusaha meningkatkan kemahiran serta merebut peluang yang ada.

“Akhir kata, kepada semua calon SPM 2025, sama ada cemerlang atau sederhana. Ingatlah bahawa keputusan ini hanyalah permulaan. Teruskan melangkah dengan yakin, tingkatkan kemahiran dan rebut segala peluang yang ada demi masa depan yang lebih gemilang,” ujar beliau.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama