SICC pacu ekonomi Sabah, perluas akses ke pasaran serantau - Rosmawati

Rosmawati dan Ghulam bergambar kenangan bersama media pada Majlis Hari Raya SICC di sini, hari ini.

KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) terus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu ekonomi negeri bagi membuka akses kepada pasaran serantau yang lebih luas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rosmawati Lasuki berkata, SICC kini memainkan peranan lebih luas sebagai platform yang menghubungkan pelbagai industri, sekali gus membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi dan kerjasama rentas sempadan.

Menurutnya, pendekatan tersebut dapat dilihat menerusi penganjuran BIGSabah Sale 2026 yang akan berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November ini, yang telah berkembang menjadi marketplace strategik.

“Edisi tahun ini dijadual berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November di SICC dan dijangka menampilkan lebih 650 booth melibatkan perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta jenama daripada pelbagai sektor termasuk makanan, fesyen, gaya hidup dan produk warisan tempatan.

“Lebih penting, BIGSabah Sale berfungsi sebagai pintu masuk ke koridor pertumbuhan BIMP-EAGA yang mempunyai pasaran kira-kira 80 juta penduduk, sekali gus membuka peluang perdagangan rentas sempadan dan pengembangan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri SICC 2026 yang berlangsung di Sipadan Hall, di sini, hari ini.

Rosmawati menegaskan bahawa pendekatan SICC kini telah berkembang daripada sekadar lokasi penganjuran acara kepada platform yang menghubungkan peluang, idea dan jaringan perniagaan.

“Dalam banyak keadaan, peranan kami kini bukan hanya sebagai venue, tetapi sebagai pemudah cara kepada aktiviti ekonomi dan interaksi industri, serta menyokong pertumbuhan Sabah di peringkat serantau,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa SICC mencatatkan momentum memberangsangkan sepanjang tahun lalu dengan penganjuran sebanyak 2,737 acara termasuk 989 acara antarabangsa.

Katanya, perkembangan tersebut bukan sahaja melibatkan angka, tetapi turut melambangkan pengukuhan jaringan kerjasama, peningkatan keterhubungan serantau serta keyakinan terhadap potensi Sabah.

“Fokus kami jelas, iaitu membina platform yang menyatukan manusia, idea dan peluang, serta meletakkan Sabah bukan sekadar destinasi, tetapi sebagai rakan penting dalam pembangunan serantau,” tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama