KPDN rampas 100 liter petrol cuba diseleweng di Semporna

SEMPORNA: Sebanyak 100 liter petrol dirampas dalam satu operasi bersepadu di daerah ini semalam, dipercayai melibatkan aktiviti penyelewengan barang kawalan.

Operasi bermula jam 6 pagi hingga 9 malam itu dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dengan kerjasama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) serta beberapa agensi penguatkuasaan lain.

Menurut KPDN, rampasan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan petrol yang disimpan dalam enam jeriken dengan anggaran nilai RM387.

“Selain kes rampasan petrol, pihak KPDN turut mengesan beberapa kes pelanggaran undang-undang lain sepanjang operasi dijalankan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Secara keseluruhan, lima kompaun di lokasi (KOTS) dikeluarkan selain satu kes biasa dibuka untuk siasatan lanjut.

Daripada jumlah itu, tiga kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, manakala dua kes lagi di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

Dalam operasi sama, sebanyak 17 notis pemeriksaan turut dikeluarkan terhadap premis yang diperiksa di beberapa lokasi strategik termasuk hotel, kawasan pembangunan dan penempatan setinggan.

KPDN menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan serta memastikan kestabilan bekalan barang kawalan di pasaran.

Pada masa sama, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu tindakan lanjut.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama