Pajero ‘kantoi’ ubah suai tangki, 200 liter diesel dirampas di Beaufort


Mitsubishi Pajero dikesan mengubah suai tangki tambahan bagi menyeleweng minyak diesel 200 liter.


BEAUFORT: Taktik sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero yang diubah suai dengan tangki tambahan bagi menyeleweng diesel kira-kira 200 liter itu berjaya dirampas dalam serbuan Ops Tiris 4.0, semalam.

Serbuan tersebut dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort di sebuah stesen minyak selepas kenderaan berkenaan dikesan menjalankan aktiviti mencurigakan ketika mengisi diesel.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Beaufort, Julie Julhani berkata, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan yang dipercayai digunakan untuk mengisi diesel dalam kuantiti besar.

“Tindakan segera diambil dengan menyita kenderaan tersebut bersama minyak diesel dan dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, melibatkan tindakan terhadap pemandu kenderaan serta pihak stesen minyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu kenderaan telah dirakam percakapan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis, manakala nozel pam stesen minyak yang terlibat turut dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Dua laporan polis telah dibuat berhubung kes berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk pelantikan pegawai penyiasat bagi melengkapkan proses siasatan,” jelasnya.

Julie berkata, pelaksanaan Ops Tiris 4.0 mencerminkan komitmen berterusan KPDN dalam membanteras penyelewengan bahan api bersubsidi di Sabah.

“KPDN menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan,” ujar beliau.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama