![]() |
| Ihsan: JAPEN Sabah. |
KOTA KINABALU: Sabah mencatat lonjakan ketara dalam prestasi pelaburan apabila merekodkan sebanyak RM7.6 bilion dalam sektor pembuatan pada tahun lalu dengan peningkatan hampir 208 peratus berbanding tahun 2024.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, pencapaian itu membuktikan daya tahan ekonomi negeri walaupun berdepan pelbagai cabaran di peringkat domestik dan global.
“Dalam tempoh tersebut, Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing dan berpotensi tinggi.
“Buktinya, pada tahun lalu Sabah berjaya merekodkan sebanyak RM7.6 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan, iaitu peningkatan hampir 208 peratus berbanding tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17, di sini, hari ini.
Hadir sama pada istiadat berkenaan ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi Sabah sebagai destinasi pelaburan strategik.
Katanya, bagi memastikan momentum pertumbuhan terus dipacu, kerajaan negeri komited melaksanakan pembangunan secara inklusif dan mampan seiring pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar yang seimbang.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan pembangunan negeri bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi, tetapi turut meningkatkan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2030 akan terus menjadi kerangka utama dalam memacu pembangunan negeri.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas, 2026-2030 (RMK-13) pula, sepuluh (10) bidang keutamaan yang berpaksikan kepada keperluan dan potensi sebenar negeri Sabah telah dikenal pasti,” jelasnya.
Sebanyak 1,173 projek telah dirancang di Sabah, dengan 933 daripadanya merupakan projek baharu manakala selebihnya adalah projek sambungan sebagai usaha berterusan memperkukuh pembangunan negeri.
“Secara keseluruhannya, jumlah siling peruntukan yang diperakukan adalah RM12.024 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 141.62 peratus berbanding siling di bawah RMK-12,” tambahnya.
Katanya lagi, pelan itu memberi penekanan kepada sektor utama pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan serta pengukuhan infrastruktur dan kelestarian hijau, termasuk fokus terhadap pendigitalan dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Tun Musa menambah bahawa kerajaan negeri optimis prestasi ekonomi Sabah akan terus berkembang seiring pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang dirangka di bawah pelan pembangunan tersebut.
