Infrastruktur kekal agenda utama dalam SMJ 2.0 - TYT

KOTA KINABALU: Pembangunan infrastruktur dan utiliti terus menjadi keutamaan utama Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang serta kesejahteraan rakyat, kata Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Berucap sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 hari ini, beliau berkata, tumpuan berkenaan digariskan menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Katanya, antara fokus utama adalah pembinaan serta penaiktarafan jalan raya dan pelaksanaan Projek Jambatan Kecil Luar Bandar bagi memperkukuh jaringan pengangkutan, sekali gus meningkatkan mobiliti penduduk terutama di kawasan pedalaman.

“Kerajaan Negeri komited merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur yang lebih menyeluruh dan efisien,” katanya.

Dalam sektor bekalan air pula, beliau berkata, usaha akan dipertingkatkan melalui peningkatan kapasiti pengeluaran air terawat, peluasan liputan bekalan luar bandar serta pengurangan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).

“Pelaksanaan projek pembinaan dan naik taraf loji rawatan air serta program NRW secara holistik akan diperluaskan ke 12 daerah di seluruh Sabah.

"Selain itu, pengurusan air sisa kumbahan turut diberi perhatian dengan penggunaan teknologi baharu termasuk sistem geospatial dan ‘in-vessel composting’ bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan," katanya.

Mengulas sektor tenaga, Musa berkata, kestabilan bekalan elektrik akan diperkukuh melalui Pelan Pembekalan Elektrik Jangka Panjang yang memberi penekanan kepada kepelbagaian sumber tenaga termasuk tenaga boleh baharu, gas asli dan penggunaan teknologi penyimpanan tenaga.

Beliau berkata, pengukuhan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah juga akan dipergiat menerusi pelaksanaan Projek Talian Penghantaran Southern Link (TPSL).

Dalam pada itu, menurutnya, kerajaan turut memandang serius isu bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh yang semakin kerap berlaku.

“Langkah mitigasi termasuk Rancangan Tebatan Banjir, sistem amaran awal serta usaha pemulihan cerun berisiko akan terus diperkasakan bagi mengurangkan impak kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur pengangkutan turut dipacu melalui sektor maritim dan darat, termasuk pembinaan terminal feri, jeti awam serta kajian kebolehlaksanaan sistem kereta api moden dari Putatan ke Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dan Pelabuhan Sepanggar.

"Kajian Sabah Sustainable Transport Master Plan juga akan dilaksanakan sebagai pelan strategik jangka panjang ke arah sistem pengangkutan awam yang lebih lestari, selamat dan efisien.

“Keseluruhannya, pembangunan infrastruktur kekal sebagai pemangkin utama dalam merealisasikan agenda Sabah Maju Jaya 2.0, sekali gus memastikan kemajuan negeri dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh rakyat,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama