Pengendalian kargo LPPS melonjak 532,391 TEUs, bukti pemacu ekonomi Sabah


Ewon ketika ditemui di sini, pada Rabu.


KOTA KINABALU: Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) mencatat peningkatan ketara dalam jumlah pengendalian kargo apabila merekodkan sebanyak 532,391 TEUs pada tahun 2025 berbanding 386,293 TEUs pada 2024.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, lonjakan tersebut jelas mencerminkan peranan strategik sektor pelabuhan sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pada tahun 2025, jumlah pengendalian kargo telah mencatatkan sebanyak 532,391 TEUs iaitu peningkatan yang ketara berbanding 386,293 TEUs pada tahun 2024.

“Pencapaian ini jelas mencerminkan peranan strategik sektor pelabuhan sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 LPPS di sini, pada Rabu.

Menurutnya, peningkatan itu turut membuktikan kecekapan operasi pelabuhan di Sabah dalam mengurus pertumbuhan perdagangan serta memastikan kelancaran rantaian bekalan.

Katanya, keupayaan mengendalikan jumlah kargo yang semakin meningkat perlu terus diperkukuh melalui penambahbaikan sistem, penggunaan teknologi serta peningkatan kecekapan sumber manusia.

“Pelabuhan yang efisien bukan sahaja menyokong aktiviti perdagangan, malah menjadi antara pemangkin penting kepada pembangunan ekonomi negeri secara keseluruhan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa warga LPPS agar terus mengekalkan budaya kerja cemerlang, integriti dan profesionalisme bagi memastikan momentum pertumbuhan tersebut dapat diteruskan.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama