Ais membeku di Panalaban, suhu Gunung Kinabalu menjunam

 

RANAU: Fenomena pembekuan ais kembali berlaku di kawasan Panalaban, Gunung Kinabalu susulan penurunan suhu ketara akibat cuaca kering dan kelembapan udara yang rendah sepanjang minggu ini.

Kejadian yang direkodkan di Substesen Panalaban pada ketinggian kira-kira 3,272 meter dari aras laut itu menyaksikan pembentukan ais pada permukaan tumbuhan serta sekitar kawasan ‘base camp’, sekali gus mewujudkan suasana sejuk luar biasa di lokasi tumpuan pendaki.

Menurut kenyataan Taman-Taman Sabah (TTS), keadaan cuaca cerah tetapi kering mempercepatkan kehilangan haba pada waktu malam hingga awal pagi, menyebabkan suhu di altitud tinggi menjunam dan menghasilkan fenomena pembekuan ais secara semula jadi.

“Fenomena ini bagaimanapun bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia lazim berlaku secara berkala di kawasan altitud tinggi Gunung Kinabalu, terutama ketika kombinasi suhu rendah, cuaca kering dan langit cerah,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, katanya, semua pendaki, malim gunung, porter serta petugas di Panalaban diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca semasa.

“Langkah yang disarankan termasuk memakai pakaian bersesuaian untuk cuaca sejuk, memastikan tubuh kekal terhidrat serta mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak TTS,” katanya.

Dalam masa sama, pihak pengurusan taman memaklumkan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan keselamatan pengunjung dan petugas sentiasa terjamin, khususnya dalam keadaan cuaca tidak menentu di kawasan altitud tinggi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama