Lebih ramai tokoh agama terkenal bakal dibawa ke Sabah - Arifin

 

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri terus mempergiat usaha membawa lebih ramai tokoh agama dan penceramah terkenal ke Sabah bagi memperkukuh pembangunan rohani masyarakat di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, usaha itu dilaksanakan secara berterusan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi dan agensi agama antaranya melibatkan kehadiran Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ustaz Abdul Somad Batubara.

“Kehadiran penceramah seperti Ustaz Somad akan dimanfaatkan melalui penganjuran ceramah dan jelajah dakwah di beberapa daerah, selain membuka ruang kepada masyarakat untuk mendalami ilmu agama dengan lebih meluas.

“Kerajaan negeri akan terus berusaha membawa lebih ramai ulama dan penceramah ke Sabah termasuk Habib Ali Zaenal Abidin, Ustaz Das’ad Latif, Abdullah Gymnastiar dan Adi Hidayat, selain tokoh al-Quran serta qari dan qariah antarabangsa,”katanya yang juga  Exco Agama  ketika ditemui media selepas menghadiri ceramah khas di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, pada Jumaat.

Program ceramah khas bersama Ustaz Abdul Somad tersebut berjaya menghimpunkan lebih kurang 2,000 peserta.

Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan; Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar; Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Datuk Awang Juri Tahir.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama