KOTA KINABALU : Pameran Khas
Dirgahayu Tuan Yang Terutama (TYT) berlangsung mulai hari ini sehingga 31
Disember 2026.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan
dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata program berkenaan bertujuan untuk
pendedahan kepada masyarakat tentang fungsi dan peranan institusi TYT.
"Pameran Khas Tuan Yang
Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah bertajuk Dirgahayu Tuan Yang Terutama ini
merupakan sebahagian daripada acara tahunan Jabatan Muzium Sabah sempena Ulang
Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama.
"Program ini juga dimasukkan
dalam kalendar pelancongan Sabah.
"Selain memberi pendedahan
kepada masyarakat tentang fungsi dan peranan institusi TYT, pameran ini juga
mempamerkan aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan Tuan Yang Terutama Yang
di-Pertua Negeri sebagai payung perpaduan dan kesejahteraan rakyat,"
katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pameran Dirgahayu Tuan Yang
Terutama di Muzium Tamadun Islam, pada Khamis.
Beliau berharap pameran berkenaan
dapat menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan luar negara untuk berkunjung
ke muzium berkenaan.
"Melalui pameran ini, para
pengunjung berpeluang menghayati dengan lebih mendalam peranan dan sumbangan
TYT sebagai Ketua Negeri Sabah.
"Di samping itu juga,
pengunjung dapat memahami kepimpinan TYT sebagai lambang perpaduan rakyat di
negeri ini serta menyemai semangat cintakan negeri dan jati diri dalam kalangan
masyarakat," ujarnya.
Majlis berkenaan diserikan dengan
kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah
Tussin.
Hadir sama, Menteri Pembangunan
Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan,
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr. Andi Md Shamsureezal Mohd Saina dan
Pengarah Jabatan Muzium Sabah, Arif Abd Hamid.
Orang ramai dipelawa menyaksikan
Pameran Khas berkenaan yang diadakan di Muzium Tamadun Islam bermula jam 9.00
pagi hingga 5.00 petang.
