KOTA KINABALU: Kolej Vokasional
(KV) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya melahirkan lebih 100,000
graduan sejak 2016.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri
Hajiji Noor berkata, pencapaian itu menunjukkan kejayaan sistem pendidikan dan
latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara apabila jumlah graduan telah
melepasi sasaran 90,000 yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013–2025.
"Sepanjang sedekad
pelaksanaannya, lebih 103,000 anak bangsa telah dilahirkan sebagai modal insan
berkemahiran tinggi yang kini memainkan peranan penting dalam pembangunan
industri negara," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional
Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Kali Ke-10 Tahun 2025 di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan
oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti (KKRU)
Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Menurut Hajiji, perkembangan
tersebut membuktikan TVET bukan lagi pilihan kedua sebaliknya muncul sebagai
arus perdana pendidikan negara dan menjadi pilihan utama dalam kalangan
pelajar.
"Keyakinan masyarakat
terhadap TVET turut dapat dilihat melalui peningkatan permohonan kemasukan ke
kolej vokasional daripada 28,098 pada 2022 kepada 58,263 pada 2026, berbanding
kapasiti pengambilan seramai 17,912 pelajar.
"TVET kini menjadi nadi
kepada pembangunan tenaga kerja negara, bukan sekadar melahirkan pemegang
sijil, tetapi individu yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi melalui
kemahiran dan kepakaran dimiliki," katanya.
Tambah beliau, dalam menghadapi
perubahan landskap pekerjaan global termasuk perkembangan kecerdasan buatan
(AI), tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau, graduan TVET perlu sentiasa
bersedia menyesuaikan diri dengan keperluan industri masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau menggesa
graduan agar terus mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat serta memperkukuh
kemahiran melalui pensijilan profesional dan pengalaman industri.
Bagi Zon Sabah dan Wilayah
Persekutuan Labuan, seramai 1,000 graduan daripada lapan Kolej Vokasional
diraikan dalam majlis berkenaan.
Daripada jumlah itu, seramai 520
graduan menerima sijil pada sidang pertama yang disampaikan oleh Dr Joachim, melibatkan Diploma Pendidikan
Awal Kanak-kanak (47 orang), Diploma Teknologi Automotif (114), Diploma Teknologi
Elektrik (108), Diploma Teknologi Kimpalan (60), Diploma Teknologi Pembinaan
(66), Diploma Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara (55), Diploma Teknologi
Pemesinan Industri (44) serta Diploma Agroindustri Ternakan Ruminan (26).
Sementara itu, Siti Nur Hanisah
Omar Hashim dari Kolej Vokasional Keningau dinobatkan sebagai penerima Anugerah
Terbaik Akademik bagi Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, sekali gus membawa
pulang sijil, plak dan saguhati bernilai RM1,000.
Seramai 480 graduan akan menerima
Diploma masing-masing pada sidang kedua yang akan disampaikan oleh Menteri
Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.
Hadir sama, Pengarah Bahagian
Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) Ts. Zulkernai Fauzi.
