KENINGAU : Jabatan Penerangan
Negeri Sabah (JaPen) memperluaskan program PENTARAMA berkonsep didik hibur ke
40 sekolah tahun ini untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap dasar
kerajaan, keselamatan internet dan isu buli.
Pengarah Penerangan Sabah,
Jainisah Mohd Noor, berkata inisiatif itu merangkumi Pentarama Homecoming untuk
sekolah rendah serta Pentarama X Kelab Malaysiaku bagi sekolah menengah.
“Program ini menjadi platform
untuk menyampaikan maklumat dasar kerajaan kepada murid dan pelajar secara
lebih santai dan interaktif.
“Tahun ini, pelaksanaannya
ditingkatkan kepada 20 sekolah rendah dan 20 sekolah menengah berbanding hanya
10 sekolah tahun lalu,” katanya selepas Program Pentarama X Kelab Malaysiaku di
SMK Keningau II, pada Khamis.
Menurutnya, program berkenaan
dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Pendidikan Malaysia.
"MCMC memberi pendedahan
mengenai Kempen Internet Selamat, manakala PDRM menyampaikan taklimat
pencegahan buli dalam kalangan pelajar.
“Program ini berlangsung dari
April hingga September dan diharap dapat meningkatkan kesedaran pelajar
terhadap penggunaan internet secara selamat serta mengurangkan kes buli di
sekolah,” ujarnya.
Sementara itu, Guru Besar SJK (C)
Yuk Yin Keningau, Chong Vun Siong, berkata Pentarama Homecoming membantu
memperkukuh semangat patriotisme, jati diri dan kecintaan terhadap negara dalam
kalangan murid.
Beliau juga berharap program itu
diteruskan demi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai isu semasa serta
aspek keselamatan dalam penggunaan multimedia.
Program turut diisi dengan sesi
kuiz, permainan interaktif, peragaan busana etnik tempatan serta persembahan
lagu patriotik.
Hadir sama, Penolong Pengarah
MCMC Keningau, Syafiera Sukor; Pengetua SMK Keningau II, Ahmud Saribin; pegawai
Cawangan Khas IPD Keningau, Inspektor Hazwan Kuik @ Haris serta Pegawai
Penerangan Daerah Keningau, Mohd Said Kalihing.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
