SEMPORNA: Operasi bersepadu besar-besaran digerakkan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di daerah ini membongkar pelbagai pelanggaran undang-undang dengan nilai kompaun dan rampasan dianggarkan mencecah RM680,250.
Operasi selama dua hari bermula 1 hingga 2 April itu menyaksikan 165 notis dan kompaun dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 40 resort serta premis perniagaan di sekitar bandar, perairan, kawasan setinggan dan kampung.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan memfokuskan pematuhan pelesenan premis pelancongan selain membanteras aktiviti tidak sah yang boleh menjejaskan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan.
Katanya, operasi ini turut memberi tumpuan kepada kesalahan imigresen, perniagaan, pekerjaan, kastam dan hidupan liar dengan penglibatan pelbagai agensi penguat kuasa.
"Seramai 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah ketika pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi sama, menurutnya, pelbagai kesalahan lain turut dikesan termasuk kegagalan majikan mematuhi syarat pekerjaan apabila Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 32 kompaun.
Selain itu, katanya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan sembilan kompaun, manakala Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) mengeluarkan lapan notis berkaitan pengendalian data.
"Majlis Daerah Semporna (MDS) pula mengeluarkan 33 kompaun membabitkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen serta pelanggaran syarat operasi premis.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan 49 notis atas kegagalan menyediakan kemudahan keselamatan kebakaran," katanya.
Dalam aspek rampasan, Victor berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM11,642.19 termasuk cukai.
"Turut dirampas, pelbagai hidupan liar termasuk daging babi, kura-kura dan burung murai bernilai kira-kira RM1,300 oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah," katanya.
Sementara itu, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan tujuh kompaun berkaitan kesalahan perdagangan, manakala PERKESO mengeluarkan 18 kompaun terhadap majikan gagal mendaftar pekerja.
Victor berkata, kejayaan operasi itu membuktikan komitmen berterusan ESSCOM bersama agensi keselamatan dan penguat kuasa dalam memperkukuh undang-undang di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
“Selaras konsep ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, ESSCOM akan terus memperhebat tindakan bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan Sabah Timur sentiasa terpelihara.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden keselamatan diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072," katanya.
