TAWAU: Seorang wanita cedera selepas dipercayai dipukul suaminya dalam kejadian di kediaman mereka di Tanjung Batu Darat, semalam.
Mangsa berusia 40-an dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian muka serta kesakitan sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata susulan laporan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek.
Beliau berkata, suspek seorang lelaki pemegang kad pengenalan pemastautin sementara berusia anggaran 25 tahun yang bekerja sebagai kelindan lori ditahan di Jalan Aman.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya
