KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyalurkan
sumbangan berjumlah RM48,000 kepada enam masjid di sekitar ibu negeri untuk
menyokong aktiviti pengimarahan dan bil utiliti.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd
Arifin Mohd Arif, berkata usaha pengimarahan masjid terus menjadi fokus utama
kerajaan negeri antaranya melalui kerjasama erat antara MUIS dan Jabatan Hal
Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
“Selain pembangunan fizikal masjid kita turut menumpukan
kepada pengimarahan melalui pelbagai program keagamaan dan pembangunan
komuniti.
“JHEAINS juga berperanan sebagai pemantau kepada pelaksanaan
projek berkaitan hal ehwal Islam termasuk yang sedang dan akan dilaksanakan,”
katanya ketika ditemui pada Majlis Mahabbah Bersama Agensi-Agensi Islam Negeri
Sabah 2026M/1447H, pada Rabu.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua
Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin yang turut
menyampaikan sumbangan kepada 17 asnaf.
Di samping itu, Tun Musa juga menyempurnakan penyampaian
sumbangan kepada pengerusi-pengerusi Masjid Bandar Kota Kinabalu, Masjid Nurul
Hikmah Bukit Padang, Masjid Daerah Putatan, Masjid Jamek Putatan, Masjid
As-Sobirin Kg. Sipanggil dan Masjid Al-Hilal Tanjung Dumpil.
Menurut Arifin, beberapa perancangan pembangunan turut
digerakkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) termasuk pembinaan
sekolah menengah agama negeri serta projek berkaitan pendidikan Islam.
"Langkah ini selari dengan usaha memperkukuh
pembangunan hal ehwal Islam secara menyeluruh di Sabah.
"Pembangunan masjid, pendidikan agama dan pengukuhan
ekonomi umat Islam menjadi antara objektif yang terus diperkasakan,"
ujarnya.
Majlis berkenaan menghimpunkan lebih 500 peserta melibatkan
17 agensi agama bertujuan mempererat hubungan antara organisasi.
Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk
Isnin Aliasnih; Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin; Pengarah
JHEAINS, Datuk Awang Juri Ag Tahir; Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai
Ali Malai Ahmad dan Setiausaha MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali.
