KOTA KINABALU : Beberapa laluan
utama di sekitar ibu negeri akan ditutup bagi sambutan Hari Etnik Sabah 6.0
yang diadakan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Sabtu ini.
Ketua Bahagian Siasatan
Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Kinabalu, DSP Khazrul Shah Annuar Ahmad berkata,
langkah tersebut bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta keselamatan
orang ramai sepanjang program berlangsung.
"Laluan utama yang terlibat
dengan penutupan dan lencongan ialah laluan di Bulatan Kapital (Bandaran)
hingga ke Lampu Isyarat JQ, termasuk jalan menuju Sabah International
Convention Centre (SICC) serta Bulatan Istiadat.
"Selain itu, penutupan jalan
bagi raptai penuh akan dilaksanakan pada 24 April bermula jam 2.30 petang,
manakala pada 25 April penutupan akan bermula seawal jam 4 petang.
"Seramai empat pegawai kanan
polis bersama kira-kira 30 orang anggota akan ditugaskan bagi memastikan
kelancaran lalu lintas sepanjang Hari Etnik 6.0 tersebut," katanya ketika
ditemui media selepas sesi temu bual radio bersama SabahFM di Kompleks
Bersepadu Kementerian Komunikasi, pada Rabu.
Beliau turut menasihatkan orang
ramai untuk merancang perjalanan lebih awal untuk mengelakkan kesesakan lalu
lintas sepanjang program berlangsung.
"Orang ramai juga disaran
menggunakan laluan alternatif yang disyorkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia
(PDRM) selain mengelakkan parkir di bahu jalan utama kerana ia boleh
menjejaskan aliran trafik.
"Kami turut berharap orang
ramai dapat mematuhi arahan anggota polis dan petugas trafik yang ditempatkan
di lokasi bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang sambutan
ini," jelasnya.
Menurutnya, komitmen pihak polis adalah untuk memastikan orang ramai dapat menghadiri sambutan Hari Etnik dengan selamat dan selesa tanpa gangguan trafik yang serius.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
