Jubilo–SAFA jalin kerjasama, fokus bangunkan bakat muda Sabah

 

Rafie Datuk Robert (tengah) bergambar bersama Saiful Azua Joe Datuk Golkhan (kelima kiri), Syarulnizam Salleh Keruak (keempat kiri) serta delegasi Akademi Bola Sepak Jubilo dan SAFA.

KOTA KINABALU: Akademi Bola Sepak Jubilo (JFA) terus mengorak langkah dalam pembangunan bola sepak akar umbi di negeri ini menerusi kerjasama strategik pengurusan bersama Persatuan Bola Sepak Sabah(SAFA). 

Kerjasama tersebut dimeterai susulan mesyuarat antara Jawatankuasa Pembangunan dan Teknikal SAFA yang diketuai pengerusinya, Rafie Datuk Robert, bersama barisan pengurusan tertinggi Jubilo yang dipimpin Syarulnizam Salleh Keruak.

Ketua Pegawai Operasi Jubilo, Saiful Azua Joe Datuk Golkhan, berkata kerjasama itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh pembangunan bola sepak belia di Sabah.

“Adalah menjadi harapan kami agar melalui kerjasama ini, Jubilo dapat melengkapi serta menyokong usaha SAFA dalam meningkatkan mutu bola sepak di Sabah, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Menurut beliau, ketika ini Jubilo memberi tumpuan kepada pembangunan pemain berusia antara tujuh hingga 16 tahun, dengan kira-kira 200 pemain muda berada di bawah program latihan akademi.

Katanya, jumlah itu sekali gus menjadikan akademi berkenaan antara institusi bola sepak akar umbi paling aktif di Sabah.

Selain latihan teknikal, beliau berkata pihaknya turut menitikberatkan pembangunan holistik pemain muda, termasuk pembentukan sahsiah, semangat berpasukan dan kepimpinan.

“Disiplin diri dalam kalangan pelatih amat penting — bukan sahaja dari aspek kecergasan fizikal, tetapi juga dari segi pemakanan dan rehat yang seimbang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jubilo turut mengalu-alukan penglibatan sektor swasta bagi menyokong usaha meningkatkan standard bola sepak serta mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda.

“Kami sedang meneroka peluang kerjasama dengan jenama pakaian sukan, organisasi kecergasan, syarikat pemakanan serta pelbagai pihak korporat lain untuk memperkukuh lagi program kami,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama