![]() |
| Pertukaran dokumen perjanjian antara Kasim (tengah) sebagai wakil UMS dengan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Sedafiat, Datuk Hj. Ag Buhtamam Ag Mahmun. |
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Sedafiat Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kerjasama strategik yang berlangsung di Auditorium Jabatan Digital UMS, baru-baru ini.
Naib Canselor UMS, Professor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, kerjasama tersebut menjadi titik permulaan kepada usaha memperkukuh inovasi dan kesejahteraan melalui sinergi antara institusi pendidikan tinggi dan industri.
“Kerjasama ini merangkumi pembangunan penyelesaian digital secara bersama melalui Jabatan Digital UMS bagi menyokong operasi teknologi Sedafiat, selain penyediaan peluang latihan industri kepada pelajar universiti berkenaan.
“Sedafiat turut menyediakan tajaan dermasiswa kepada pelajar daripada golongan B40 dan orang kurang upaya (OKU) sebagai usaha meningkatkan akses pendidikan dan mobiliti sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani MoU, di sini.
Hadir sama, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi; serta Ketua Pegawai Digital Jabatan Digital UMS, Profesor Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim.
Kata beliau, kolaborasi tersebut turut melibatkan pelaksanaan program pembangunan bakat dan peningkatan kapasiti melalui bengkel serta latihan kepada pelajar dan staf kedua-dua pihak.
“Antara inisiatif lain termasuk pelaksanaan projek landskap hospital menggunakan kepakaran Fakulti Perhutanan Tropika UMS, pembangunan kabin serba guna di tapak projek SFERA@UMS, serta projek teknologi kompos dan pengurusan sisa secara kitaran sebagai usaha menyokong kelestarian alam sekitar,” ujarnya.
Menurutnya, kerjasama antara institusi pendidikan dan industri amat penting dalam menghasilkan penyelesaian inovatif serta menyumbang kepada pembangunan negara secara menyeluruh.
