Pengerusinya, Mohd Nazri Abdullah berkata, pengumuman oleh Jamawi Jaafar membuktikan kerajaan serius menangani isu pembelian panik serta gangguan bekalan yang dilaporkan di beberapa kawasan.
Menurutnya, peningkatan kuota bekalan itu memberi jaminan bahawa keperluan makanan asas rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
“Langkah ini amat dialu-alukan kerana beras adalah keperluan utama setiap isi rumah. Apabila bekalan ditambah dan pengedaran diperkemas, rakyat tidak perlu bimbang atau terburu-buru membeli secara berlebihan.
“Dalam keadaan semasa, ketenangan pengguna amat penting supaya pasaran kembali stabil dan bekalan dapat diagihkan secara adil,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri di Taman Kingfisher, di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong tindakan kerajaan memperketat audit terhadap pemborong yang disyaki menyorok atau melengah-lengahkan pengeluaran stok.
Katanya, sebarang unsur manipulasi bekalan tidak boleh dikompromi kerana ia memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan penduduk luar bandar.
“Jika ada pihak sengaja menahan stok untuk menaikkan harga, tindakan tegas mesti diambil. Bekalan makanan bukan isu kecil kerana ia menyentuh kebajikan rakyat dan kestabilan negeri,” tegasnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik, sebaliknya berbelanja secara berhemah dan membeli mengikut keperluan.
“Kerajaan sudah memberi jaminan stok mencukupi, jadi pengguna perlu yakin dan bertenang selain tidak menyebarkan khabar angin yang boleh mencetuskan keresahan,” tambah beliau.
