KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya
Kota Kinabalu (DBKK) akan merangka Pelan Tindakan Bandar Mesra Usia sebagai
langkah proaktif menghadapi peningkatan populasi warga emas di bandaraya ini.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu,
Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata inisiatif ini penting memandangkan Malaysia
dijangka menjadi negara berpenduduk tua menjelang 2030 apabila lebih 15 peratus
rakyat berusia 60 tahun ke atas berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan
Malaysia.
“Seiring perubahan ini,
bandar-bandar di Malaysia semakin menyedari kepentingan menjadi bandar mesra
usia bagi menyokong kesejahteraan serta kualiti hidup warga emas.
“Pelan tindakan ini akan memberi
tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur termasuk laluan pejalan kaki,
kemudahan awam yang lebih selamat selain memperkukuh jaringan kerjasama dengan
agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Inisiatif ini mencerminkan Misi
DBKK yang pertama, iaitu menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang
bersih, hijau dan berdaya huni. Persekitaran bandar bukan sahaja perlu selesa
dari segi fizikal, malah inklusif serta selamat untuk semua lapisan umur dan
keupayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika
berucap pada Program Inspirasi Dan Realiti: Perkongsian Bandar Mesra Usia
(Aged-Friendly City) 2026, pada Isnin.
Program berkenaan disertai 200
peserta dan menjadi platform perkongsian ilmu serta amalan terbaik, termasuk
pengalaman Pulau Pinang dalam melaksanakan agenda mesra usia melalui Penang
Women’s Development Corporation (PWDC).
Menurutnya, DBKK akan menjadikan
konsep Bandar Mesra Usia yang diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
sebagai rujukan dalam merangka dasar serta pelaksanaan di peringkat bandar.
“Bagi Kota Kinabalu, inilah masa
paling sesuai untuk memulakan langkah. Program ini diharap menjadi platform
strategik dalam memperkukuh kefahaman, perkongsian ilmu dan amalan terbaik
berkaitan pembangunan bandar mesra usia.
“Ia juga memberi panduan
praktikal kepada DBKK dalam merancang langkah awal yang lebih tersusun dan
berkesan,” ujar beliau.
Sabin turut memaklumkan inisiatif
itu melengkapi pelaksanaan Bandar Mesra Kanak-kanak hasil kerjasama DBKK dengan
United Nations Children's Fund (UNICEF) sejak 2024.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen DBKK dalam memastikan pembangunan bandar yang inklusif, selamat dan berdaya huni untuk semua peringkat umur, selaras dengan aspirasi Pelan Kota Kinabalu 2035 yang menekankan keterangkuman serta kesejahteraan sosial,” tambahnya.
