Miliki hidupan liar dilindungi, lelaki didenda RM48,000

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki beberapa haiwan liar yang merupakan spesies dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.



SANDAKAN: Seorang lelaki didenda RM48,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah memiliki beberapa haiwan daripada spesies dilindungi tanpa kebenaran.

Tertuduh, Hendry Rayner Endim, 38, yang bekerja sebagai pegawai ladang, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM48,000 atau penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki tiga bangkai ular sawa pendek (blood python), seekor ular sawa panjang (reticulated python), seekor bangkai musang (malay civet) serta dua bangkai musang (common palm civet), yang merupakan spesies dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Kesalahan tersebut dilakukan kira-kira jam 2.10 petang pada 24 Mei 2025 di jalan utama Paitan–Kanibongan tanpa sebarang kebenaran sah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(2) enakmen berkenaan yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah, Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama