Guna ekor pari cederakan mangsa, lelaki warga asing serah diri

 

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas bertindak menyerah diri kepada polis dan mengaku menggunakan objek menyerupai ekor pari untuk mencederakan mangsa dalam kejadian di Kampung Titingan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin, berkata suspek berusia lingkungan 30-an itu tampil ke Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan kira-kira jam 5.20 petang.

Menurutnya, lelaki terbabit mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan sebelum menyerahkan objek digunakan kepada anggota polis sebagai bahan bukti.

“Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek turut mengaku terbabit dalam satu lagi kes yang pernah dilaporkan sebelum ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya,” katanya.

Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar kawalan hingga boleh mendatangkan kecederaan kepada pihak lain.

Katanya, sebarang pertikaian perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang dengan merujuk kepada pihak berkuasa.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama